Sunday, September 19, 2010

Sosilawati didakwa mangsa tipu pekerja sendiri

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Kekayaan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bukan sahaja menjadikannya sasaran penjenayah malah pekerja sendiri yang tidak amanah.

Sumber terdekat keluarganya mendedahkan pekerja terbabit yang mempunyai tali persaudaraan dengan Sosilawati, 47, dikesan menggelapkan wang syarikat beberapa minggu sebelum usahawan wanita itu dilaporkan hilang.

Menurutnya, Sosilawati meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pekerja-pekerjanya untuk menguruskan operasi dan kewangan syarikat kosmetik, Nouvelles Visage (NV).

"Malangnya, kesempatan itu digunakan oleh pekerja yang tidak amanah untuk menggelapkan wang syarikat berjumlah jutaan ringgit.

"Sosilawati jarang berada di pejabatnya di Jalan Raja Bot di sini kerana mempunyai banyak urusan kerja luar dan ini diambil kesempatan oleh pekerja yang mengurus proses penjualan dan penyerahan produk kepada stokis yang membuat tempahan dan pembelian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber tersebut, antara urusan penting diserahkan kepada pekerjanya adalah penerimaan cek bagi pembelian produk untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat daripada stokis-stokis di seluruh negara.

Namun, kata beliau, kepercayaan diberikan oleh Sosilawati diambil kesempatan oleh seorang pekerjanya untuk menggelapkan wang syarikat.

Katanya, perbuatan itu bagaimanapun berjaya dihidu oleh Sosilawati beberapa minggu lalu setelah mengesyaki pekerja terbabit mengubah nama penerima cek yang sepatutnya ditulis atas nama syarikat.

"Penipuan licik bekas pekerjanya itu terbongkar setelah Sosilawati menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap jumlah wang di dalam akaun syarikat.

"Beliau kemudian menyoal siasat pekerja terbabit dan membuat semakan pada buku kira-kira syarikat namun gagal menemui bukti penyelewengan yang dilakukan.

"Namun, Sosilawati percaya ada kemungkinan semua bukti penyelewengan dilakukan pekerjanya itu sudah dihapuskan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang," ujarnya.

Sumber berkata, beliau yang dimaklumkan sendiri oleh Sosilawati mengenai perkara tersebut bagaimanapun tidak pasti sama ada pekerja yang didakwa pecah amanah itu dipecat atau menghilangkan diri sebaik sahaja tembelangnya pecah.

Bagaimanapun, katanya, pekerja terbabit difahamkan sudah tidak lagi berkhidmat di syarikat tersebut seminggu sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.

"Sebaik sahaja menyedari penyelewengan itu, Sosilawati mengemas kini buku kira-kira syarikat selain cuba mendapatkan kembali resit daripada stokis-stokis yang membuat pembelian produk NV sebelum ini.

"Dia bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis berhubung penyelewengan berkenaan," katanya.