PUTRAJAYA 24 Sept. - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin hari ini hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 3.20 petang dan selesai memberi keterangan sejam kemudian.
Ketika ditemui pemberita Shamsul Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM, sebaliknya mengulangi kenyataannya menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu.
"Saya tidak tahu menahu apa-apa mengenai perkara itu. Saya hanya tahu melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul.
"Saya hendak tahu apa kesalahan saya, apa yang perlu saya jelaskan, apa jenis kerjasama yang boleh saya berikan,” katanya.
Samsul berkata, jika ingin memanggil beliau untuk memberi keterangan polis perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti yang termaktub dalam Kanun Acara Jenayah. - Bernama