KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Polis tidak akan mendedahkan jumlah mangsa atau kes orang hilang yang membabitkan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, sehingga siasatan menyeluruh selesai dilakukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, selain kes pembunuhan Sosilawati serta tiga individu, siasatan masih diteruskan tentang kemungkinan wujud mangsa-mangsa lain.
"Hari ini saya tidak mahu mengesahkan apa-apa. Usaha yang dijalankan itu lebih penting. Apabila sudah dapat bukti dan fakta, baru kita beritahu," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.
Beliau diminta mengesahkan jumlah kematian dan kes kehilangan individu yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan kejam itu.
Sehubungan itu, Ismail meminta media tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan laporan berita berbentuk spekulasi berhubung kes pembunuhan tersebut kerana siasatan masih dijalankan.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis telah menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.