Showing posts with label harakah. Show all posts
Showing posts with label harakah. Show all posts

Friday, September 24, 2010

Shamsul gesa KP Selangor ikut prosedur

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Ketua Polis Selangor profesional dalam menjalankan siasatan terhadapnya berkait kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya.

Shamsul dalam satu kenyataan balas kepada Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis harus mengikut prosedur yang betul jika mahu memanggil beliau untuk memberikan keterangan.

"Sekiranya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media (investigation through media).

"Sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang saya tertakluk kepada undang-undang, bukannya hebahan media seseorang pegawai kanan polis," kata Shamsul.

Menurut Shamsul, beliau akan menghantar satu salinan kenyataan rasminya ke laman sosial Facebook Khalid dan turut mengarahkan peguamnya, Yusmadi Mohd Yusoff untuk berurusan dengan pihak polis.

"Saya juga akan menghantar sesalinan respons rasmi saya ke laman sosial Facebook Datuk Khalid memandangkan "kaedah Facebook" ini merupakan kegemaran beliau," katanya.

Beliau juga akan mengadakan satu sidang media selepas bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 3 petang esok bagi menjelaskan pendiriannya kepada umum.

Khalid sebelum ini mendakwa Shamsul gagal dihubungi bagi mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau mengenai kes pembunuhan Sosilawati.

Khalid berkata, kegagalan Shamsul berkerjasama dengan pihak polis itu memungkinkan waran tangkap dikeluarkan kepada beliau.

Shamsul bagaimanapun sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang tuduhan, sebaliknya melontarkan pertanyaan kemungkinan wujud sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Banting.

Ianya ekoran kegagalan pihak polis bertindak dalam beberapa kes bunuh terdahulu yang melibatkan suspek yang telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Menurutnya, kes-kes berkenaan hanya dibuka semula selepas terbongkarnya kes pembunuhan Sosilawati.

Beliau juga menegaskan, sehingga hari ini beliau tidak pernah dimaklumkan menurut kaedah-kaedah dan amalan undang-undang seperti yang diperincikan di dalam Kanun Acara Jenayah di dalam hal yang bersabit dengan prosedur memberikan sebarang kenyataan untuk membantu siasatan polis.

"Justeru adalah sangat tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis mendakwa saya gagal dihubungi sedangkan tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubungi saya dilakukan," katanya.

Monday, September 20, 2010

Nik Aziz lawat keluarga Sosilawati

GOMBAK, 20 Sept: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meluangkan masa menziarahi sendiri keluarga jutawan kosmetik, Allahyarhamuha Datuk Sosilawati Rawiya yang mati dibunuh kejam bersama tiga rakannya minggu lalu.

Nik Aziz yang diiringi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meluangkan masa-masa kira-kira setengah jam bertemu dengan keluarga allahyarhamuha termasuk bekas suaminya, Buhari Muhammad yang menyambut baik kedatangan mereka.

Mursyidul Am PAS itu turut mengucapkan takziah di atas kematian Sosilawati dan berharap keluarganya bersabar menerima ujian tersebut.

"Saya mewakili rakyat Kelantan mengucapkan takziah kepad keluarga dan mudah-mudahan keluarga arwah bersabar menerima ujian ini.

"Arwah mati teraniaya jadi kita minta dosa-dosanya Allah ampunkan dan pahalanya dilipat gandakan," katanya kepada pemberita di perkarangan rumah arwah selepas pertemuan tersebut.

Tambahnya juga, setiap manusia yang masih hidup diseru untuk melawat keluarga sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebagai tanda prihatin dan mengurangkan kesedihan yang terpaksa ditanggung keluarga.

"Apabila berlaku kematian, kita diminta melawat sebagai tanda takziah.

"Kita melawat ertinya kita bercakap-cakap sesuatu yang boleh menenangkan hati keluarga samaada nak bawa wang atau nak bercakap sahaja, itu menjadi kewajipan orang Islam lebih-lebih lagi bila berlaku kematian tragis seperti ini, lagilah mustahak untuk kita datang melawat," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap manusia perlu menyiapkan diri untuk menghadapi kematian dengan mengerjakan segala amalan soleh di dunia ini sebagai bekalan untuk akhirat.

"Kita ini kepunyaan Allah, Allah bagi nyawa dan Allah juga yang ambil nyawa kita. Kewajipan masa hidup ini kita siapkan bekalan untuk masuk kubur, bukan dengan duit, makanan, tapi dengan pahala dan doa kita," ujarnya.

Sementara itu, Buhari yang terharu dengan kunjungan Nik Aziz dan Salahuddin itu merakamkan ucapan terima kasih di atas kunjungan tersebut.