Saturday, October 16, 2010

2 pekerja Pathma dipenjara 7 tahun

KUALA LANGAT 15 Okt. - Pada hari rakyat Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan Ke-53, mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya disusun di atas longgokan kayu dan dibakar sebelum abu mayat mereka dimasukkan ke dalam sebuah tong biru serta dibuang ke dalam Sungai Panchau di sini.

Perkara itu dilakukan semata-mata ingin melindungi majikan mereka yang juga seorang peguam, N. Pathmanabhan, 41, dan tiga lagi pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 19; R. Matan, 20; dan R. Kathavarayan, 30, daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu, kesemua lelaki tersebut didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini atas tuduhan membunuh pengasas kosmetik Nouvelles Visage itu, pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.

Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Hari ini, fakta ngeri kes pembunuhan kesemua mangsa itu diakui sendiri oleh dua lagi pekerja ladang milik peguam itu yang 'ditugaskan' untuk menyusun mayat-mayat mangsa atas longgokan kayu, membawa minyak petrol dan diesel untuk membakar mayat serta membuang abu mayat ke dalam sungai.

Fakta kes itu dibacakan oleh jurubahasa sejurus selepas tertuduh- tertuduh, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, mengaku bersalah atas empat pertuduhan setiap seorang pada prosiding di mahkamah majistret yang sama hari ini.

Majistret Hurman Hussain kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 9 September lalu.

Hukuman pemenjaraan itu bagaimanapun diperintahkan berjalan secara serentak.

Kedua-dua tertuduh juga memohon maaf kepada kesemua keluarga mangsa atas penglibatan mereka dalam pembunuhan ngeri itu.

Terdahulu, sebelum kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman, mereka dibawa ke luar mahkamah bagi mengecam sebuah kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max bernombor pendaftaran WSF 8070 yang digunakan untuk mengangkut tong yang berisi abu mayat mangsa-mangsa sebelum dibuang ke dalam sungai.

Mengikut pertuduhan, Sarawanan yang sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang mekanik motosikal didakwa atas empat pertuduhan membakar mayat semua mangsa antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos lalu di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini.

Suresh yang turut didakwa atas empat pertuduhan dituduh telah melupuskan bukti pembunuhan kejam itu dengan sengaja membuang abu mayat kesemua mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib di sini kira-kira pukul 8 dan 10 pagi, 31 Ogos lalu.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof dan dibantu oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.

Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam-peguam bela, M. Puravelan, Roslie Sulle dan Muhammad Naquib Abdul Razak.

Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Ishak memohon agar Suresh dan Sarawanan yang bakal menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan kejam itu ditempatkan di penjara yang berbeza daripada empat tertuduh sebelum ini bagi menjamin keselamatan mereka.